Lembaga Jururawat Malaysia
Penubuhan Lembaga Jururawat Malaysia ditubuhkan sejurus Akta Kejururawatan dan Ordinan Pendaftaran Jururawat diaktakan bagi tujuan mengawalselia pendidikan kejururawatan dan pendaftaran jururawat.Peperiksaan yang dijalankan oleh Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) ini adalah bertujuaan memberi pengiktirafan kepada bakal-bakal jururawat yang telah menamatkan pengajian mereka. Peperiksaan ini akan dijalankan sebanyak sepuluh kali setahun. Manakala, takwim bagi peperisaan ini pula boleh dimuat turun melalui Portal Nursing. Setiap graduan perlu lulus dalam peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia(LJM) untuk didaftarkan di dalam LJM mengikut akta Jururawat 1950 (Akta 14). Mereka yang telah lulus peperiksaan ini akan diiktiraf sebagai jururawat yang berdaftar dengan LJM dan boleh berkhidmat dengan mana-mana hospital kerajaan atau swasta di dalam Negara mahupun di luar Negara.
Bagi graduan jururawat yang ingin menduduki peperiksaan LJM, mereka perlu mengisi borang permohonan dua bulan sebelum tarikh peperiksaan yang boleh didapati di laman sesawang Lembaga Jururawat Malaysia. Setiap pemohon mestilah mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan yang terkandung dalam Akta Jururawat 1950 Peraturan-peraturan Pendaftaran Jururawat 1985 Jilid 29 no.22 Bertarikh 31 Oktober 1985, Bahagian III, Para 15(2), M/s 2033. Setiap pemohon juga perlu mengesahkan bahawa mereka memperoleh 100 peratus dalam kehadiran teknikal; memperoleh 85 peratus prosedur-prosedur dalam buku rekod pengalaman pelatih dan mereka mestilah memperolehi 85 peratus dalam kehadiran teori. Namun, calon-calon tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan akhir sekiranya cuti sakit melebihi 42 hari dan semua cuti sakit yang berlebihan perlu diganti.
Sebagaimana peperiksaan-peperiksaan besar di Malaysia, peperiksaan di bawah Lembaga Jururawat Malaysia ini juga dikenakan bayaran bagi pemohon yang ingin menduduki peperiksaan ini. Terdapat empat jenis peperiksaaan yang telah disediakan oleh LJM iaitu Peperiksaan LJM Syarat Kemasukan Dalam Bahagian Am Daftar Untuk Jururawat dan juga Peperiksaan LBM Syarat Kemasukan Dalam Bahagian Daftar Bahagian 1 dimana pemohon perlu membayar RM30.00 untuk setiap satu peperiksaaan. Bagi Peperiksaan LJM/LBM Syarat bagi kemasukan dalam Bahagian Tambahan Daftar Untuk Jururawat Masyarakat dan Peperiksaan LJM Syarat Bagi Kemasukan Dalam Bahagian Tambahan Daftar Untuk Penolong Jururawat pula, setiap pemohon akan dikenakan yuran sebanyak RM15.00 untuk setiap satu peperiksaaan.
Semua calon yang ingin mengambil peperiksaan ini diingatkan agar mengisi surat sumpah peperiksaan dimana mereka mestilah berikrar dan bersetuju untuk tidak akan mengeluarkan atau membocorkan kepada mana-mana pihak, dalam apa juga bentuk maklumat berkaitan pengawasan peperiksaan ini dan akan sentiasa menyimpan segala maklumat sebagai rahsia (Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan). Justeru, sekiranya mereka didapati bersalah, mereka akan tindakan tatatertib mengikut Akta Rahsia rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan. Selain itu, setiap calon juga diminta mengisi surat sumpah pemusnahan buku soalan peperiksaan dimana mereka perlu berjanji agar tidak akan mengeluarkan atau membuat salinan fotostat soalan peperiksaan atau membocorkan kepada mana-mana pihak, dalam apa juga bentuk maklumat yang berkaitan peperiksaan ini dan akan sentiasa menyimpan segala maklumat sebagai rahsia ( Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan ).
Keputusan Peperiksaan
Bagi bakal-bakal jururawat yang inigin memperoleh keputusan peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia, keputusan peperiksaan ini akan diisytiharkan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Jururawat (SPMJ) dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh penerimaan lengkap semua jawapan peperiksaan setelah disahkan oleh Pendaftar/ Setiausaha LJM dengan persetujuan ahli mesyuarat Jawatankuasa Pelajaran dan Peperiksaan. Justeru, mereka boleh memperoleh keputusan peperiksaan mereka melalui laman sesawang Sistem Pengurusan Maklumat Jururawat (SPMJ). Manakala, slip peperiksaan akan dihantar kepada calon peperiksaan melalui pihak kolej atau institusi pengajian masing-masing dan slip ini hanya akan dikeluarkan sekali sahaja. Markah yang dikeluarkan hanyalah lulus atau terkandas sahaja dan markah untuk lulus peperiksaan ini adalah 50 peratus daripda 100 peratus markah keseluruhan. Keputusan cemerlang hanya akan diisytiharkan kepada calon yang memperoleh markah 80 peratus dan keatas. Walaubagaimanapun, bagi pelajar yang terkandas dalam peperiksaan ini, mereka boleh mengulang peperiksaan sebanyak tiga kali sahaja.
Pelaksanaan peperiksaan oleh Lembaga Jururawat Malaysia ini, dapat membantu melahirkan jururawat-jururawat berdaftar yang bermutu tinggi selaras dengan garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan dalam program kejururawatan. Seperti yang sedia maklum, jururawat memainkan peranan yang penting dalam perkhidmatan kesihatan Negara. Oleh itu, peperiksaan yang dijalankan oleh LJM ini dapat menilai kepakaran seseorang jururawat dalam memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada pesakit serta dapat membentuk jururawat yang kompiten, cekap dan selamat antara perkhidmatan hospital dan kesihatan. Secara kesimpulannya, bidang penjagaan kesihatan professional ini adalah suatu bidang yang memerlukan jururawat yang berdaftar yang bertanggungjawap dalam membantu menjaga dan merawat pesakit, memberi penjagaan kesihatan yang baik dan jugaboleh menangani kecemasan dalam semua keadaan yang dapat membahayakan nyawa.