Diploma Fisioterapi

Bekerja sebagai ahli fisioterapi melaksanakan program pemulihan yang memaksimumkan keupayaan pergerakan, melegakan kesakitan dan merawat cabaran-cabaran fizikal yang berkaitan dengan kecederaan, penyakit dan kecacatan lain.

Gambaran Keseluruhan

Graduan Diploma Fisioterapi akan menjadi seorang ahli fisioterapi. Fisioterapi adalah cabang dari bidang perubatan. Perkataan fisioterapi itu adalah terma dari gabungan perkataan fisiologi (cara sesuatu berfungsi) dan terapi, menjadikannya sebagai satu cabang ilmu perubatan mengenai terapi atau penjagaan anggota badan supaya berfungsi dengan baik. .Ahli fisioterapi juga dikenali sebagai pegawai pemulihan perubatan (anggota) atau jurupulih perubatan anggota. Lazimnya, mereka termasuk dalam pasukan perubatan yang mempunyai kepakaran khusus dalam memulihkan pergerakan anggota badan supaya berfungsi dengan cekap. Sebagai contoh, seseorang yang mengalami kemalangan akan memerlukan masa untuk pulih. Dalam proses pemulihan, pesakit akan melalui kesukaran dalam pergerakan. Sebagai pakar, ahli fisioterapi akan membantu pesakit agar dapat bergerak seperti biasa. Terdapat pelbagai kaedah dalam rawatan fisioterapi yang dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu elektro terapi dan terapi manual.

Elektro terapi melibatkan kaedah rawatan sepert ultrasound, interferential terapi. Laser dan diatermi gelombang pendek. Manakala terapi manual melibatkan kaedah mobilisasi, manipulasi, teknik urutan, senaman therapeutic, rehabilisasi selepas pembedahan dan nasihat serta langkah pencegahan. Tuntasnya, terdapat teknologi terkini mahupun kaedah biasa dalam merawat pergerakan seseorang dan tugas-tugas untuk mengaplikasi kesemua teknik rawatan ini harus dilakukan oleh ahli fisioterapi yang mempunyai pengkhususan dalam pemulihan fungsi anggota. Yang menarik, ahli fisoterapi bekerjasama dengan doktor, jururawat dan pasukan perubatan dalam memulihkan pesakit. Justeru, pengetahuan yang mendalam dalam bidang kesihatan harus dikuasai seseorang pengamal fisioterapi. Memiliki diploma fisioterapi adalah langkah awal untuk berkecimpung dalam kerjaya ini.

Persediaan

Kerjaya sebagai pegawai pemulihan perubatan (anggota) atau jurupulih perubatan anggota ini bermatlamat untuk memulihkan fungsi fizikal bagi pergerakan anggota badan seseorang pesakit. Sebagai ahli fisoterapi, kearifan tentang fungsi tubuh badan dan kecederaan serta proses penyembuhan diperlukan dalam merangka rawatan yang sesuai buat pesakit. Segala ilmu penyembuhan anggota ini akan diajar dalm pengajian diploma fisioterapi. Namun untuk melangkah masuk ke program diploma fisioterapi ini, seseorang itu perlulah memiliki kelayakan yang sepatutnya.

Lazimnya, syarat sebagai warganegara Malaysia diminta oleh sesetengah institusi pengajian (tidak semua). Malah calon juga harus berstatus bujang, tetapi tidak semua institusi pengajian meletakkan syarat tersebut. Dari segi syarat umur, umur 17-25 tahun adalah yang selalu menjadi syarat kemasukan. Dari segi persediaan akademik, syarat keutamaan ialah dua kepujian dalam matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris serta lulus dalam dalam dua subjek lain. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan lulus enam matapelajaran termasuk Bahasa Melayu, dengan dua mata pelajaran mendapat kepujian sudah cukup sebagai syarat minimum untuk memohon ke pengajian diploma fisioterapi. Calon juga mesti meletakkan persediaan diri dengan memiliki kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Peluang Pekerjaan

Sekiranya bekerja dengan kerajaan sebagai Jurupulih Perubatan (Anggota) Gred U29, deskripsi tugasnya adalah memulihkan anggota dengan menggunakan senaman, cahaya elektrik, sejuk air, urut dan karan/elektrik, merancang program rawatan kepada pesakit supaya dapat memberi kesan yang diperlukan, membantu doktor menentukan jenis penyakit, misalnya menguji dengan cara elektrik, menyimpan laporan kemajuan pesakit-pesakit terutama penyakit yang mengambil masa panjang seperti polio, memaklumkan kepada pegawai perubatan mengenai kesesuaian sesuatu skim rawatan terhadap seseorang pesakit, membuat pesanan bekalan peralatan dan mengajar pesakit-pesakit mengenai senaman yang perlu dilakukan di rumah terutama bagi mereka yang tinggal berjauhan dan sukar untuk datang ke hospital. Bekerja dengan pusat perubatan swasta juga mempunyai deskripsi tugas yang tidak jauh beza, yang menjadi perbezaan adalah gaji dan manfaat kedua-dua pekerjaan dengan kerajaan atau swasta tersebut.

Selain daripada hospital, ahli fisoterapi boleh bekerja dengan badan-badan sukan tertentu. Sebagai contoh, kelab bola profesional mempunyai ahli fisioterapinya sendiri. Hal ini berikutan seseorang atlet memerlukan penjagaan dan pemulihan fisiologi yang khusus agar dapat beraksi dengan baik. Ada juga ahli fisioterapi yang bekerja di pusat jagaan warga emas, dengan membantu warga emas memuilhkan pergerakan anggota yang lemah dek usia yang lanjut.

Kemasukan adalah terhad. Membuat pilihan yang bijak untuk masa depan anda.