Diploma Farmasi

Bekerja sebagai pembantu farmasi di hospital-hospital kerajaan, hospital swasta dan komuniti produk Eksekutif atau jurucakap produk dalam industri farmaseutikal. Penolong teknikal dalam industri penjagaan kesihatan.

Gambaran Keseluruhan

Farmasi adalah salah satu cabang kimia yang menjurus kepada penggunaan ubat secara selamat dan efektif. Bidang farmasi ini terbahagi kepada tiga cabang lain iaitu Farmaseutik, Kimia Farmaseutikal dan Praktis Farmasi. Bidang ini dianggap sebagai bidang yang kritikal pada zaman kemajuan kini memandang masyarakat sangat prihatin terhadap pengambilan ubat-ubatan dan tahap kesihatan dalam kehidupan seharian. Matlamat utama bidang farmasi ini ialah untuk memastikan terapi drug yang optimum dan rasional melalui penglibatan pekerja dalam proses penyediaan, pengedaran dan pengawalan ubat-ubatan dan produk produk farmaseutikal. Diploma Farmasi menyediakan pelajar untuk menjadi juruteknik farmasi yang berpengetahuan dalam bidang farmaseutik, kimia farmaseutik dan praktis farmasi supaya mereka bersedia memasuki pasaran kerja dalam industri farmaseutikal yang menekankan aspek kimia farmaseutik dan farmaseutik atau memasuki pasaran kerja yang menekan aspek praktis farmasi seperti hospital dan farmasi komuniti.Bidang farmasi ini secara tidak langsung dapat melahirkan profesional yang beretika yang dapat mewujudkan tanggungjawab kemasyarakatan demi untuk memenuhi tuntutan agama dan aspirasi negara.

Peluang Pekerjaan

Peluang Pekerjaan

Para graduan tidaklah perlu khuatir akan peluang pekerjaan dalam bidang ini. Hal ini kerana selain daripada menjadi seorang ahli farmasi, terdapat banyak lagi pekerjaan yang memerlukan khidmat anda. Antara pekerjaan tersebut ialah:

  • Penolong pegawai Farmasi di hospital awam mahupun badan berkanun
  • Pembantu farmasi di hospital swasta dan komuniti
  • Eksekutif produk atau jurucakap produk di industri farmaseutikal
  • Pembantu teknikal di institusi yang mengawal selia ubat dan produk kesihatan

Selain daripada itu, para pelajar juga boleh memohon pekerjaan dalam sektor awam melalui rangkaian Sistem Perkhidmatan Awam (SPA) dalam bidang berkaitan. Malahan, anda juga boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di mana-mana institut di dalam mahupun luar negara.

Persediaan

Sebagai seorang pelajar yang sedang menganalisa jurusan yang sepatutnya diambil, anda perlu tahu akan kemampuan anda, minat anda dan juga kemahiran anda. Minat dan kelebihan yang ada dalam diri adalah satu peluang untuk anda menceburkan diri dalam bidang farmasi. Selain daripada itu, bidang akademik juga merupakan aspek utama yang akan dinilai pada para pelajar untuk melayakkan anda melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Hal ini kerana bidang ini juga seolah-olah bidang profesional yang lain kerana bidang ini menuntut anda untuk mempelajari subjek yang berkaitan bidang sains seperti Kimia dan Biologi. Dalam aspek akademik, mata pelajaran Matematik pada peringkat SPM turut diambil kira.

Syarat kelayakan akademik yang minumum adalah berbeza mengikut institusi yang terlibat. Namun, secara amnya, syarat kelayakan untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini ialah sekurang-kurangnya lulus SPM dan mendapat tiga (3) kredit termasuk mata pelajaran Sains. Oleh itu, bagi para pelajar yang kurang berminat dalam mata pelajaran Sains, disyorkan agar anda memilih jurusan lain untuk meneruskan pengajian. Sesetengah IPT meletakkan syarat kelayakan minimum adalah lulus SPM dengan sekurang-kurangnya lima (5) kepujian termasuk Sains dan Matematik. Antara IPT yang menawarkan jurusan ini pada peringkat Diploma ialah KPJ dan Mahsa Universiti.

Diploma farmasi pada peringkat diploma akan mengambil masa selama enam semester iaitu bersamaan tiga tahun. Sepanjang pengajian, anda akan didedahkan dengan pelbagai perkara mengenai bidang ini. Terdapat juga banyak subjek yang akan dipelajari dalam tempoh pengajian tersebut. Antara subjek-subjek yang bakal anda pelajari ialah:

  • ICT for Pharmacy
  • Calculus
  • Life Sciences
  • Introduction to Pharmacuetics
  • Chemistry

Selain senarai di atas, banyak lagi subjek baru yang akan didedahkan pada anda di institusi terbabit. Dibandingkan dengan jurusan profesional lain seperti seni bina dan kejuruteraan, bidang ini dianggap lebih ringan. Jurusan ini tidak menuntut anda untuk membuat kajian di luar kawasan, namun masa banyak dihabiskan di dalam makmal untuk membuat pelbagai eksperimen mengenai ubat-ubatan. Selain itu, para pelajar juga dikehendaki untuk menjalani latihan praktikal selama satu semester. Hal ini adalah untuk memastikan para pelajar benar-benar memahami apa yang dipelajari sepanjang kuliah di samping mendedahkan kepada para pelajar tentang dunia ubat-ubatan yang sebenar.

Kemasukan adalah terhad. Membuat pilihan yang bijak untuk masa depan anda.